mutakhir

Kilang DVD 'gulung tikar'

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sindiket mencetak cakera padat digital (DVD) cetak rompak ‘gulung tikar’ apabila mesin khas digunakan bernilai RM5.4 juta dirampas pihak berkuasa.

Sindiket terbabit yang mengedarkan DVD filem cetak ke seluruh negara dikesan menjadikan sebuah kilang tersorok di Cheras Selatan, di sini, sebagai markas mencetak ratusan ribu keping DVD setiap bulan.

Premis itu bagaimanapun diserbu sepasukan Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) jam 10.45 pagi kelmarin.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNKK Roslan Mahayudin berkata, pihaknya menyita pelbagai mesin memproses DVD serta peralatan bernilai RM5.4 juta.

Katanya, hasil risikan mendapati kilang itu menjalankan kegiatan memproses DVD tanpa lesen yang sah daripada pihak berkuasa.

“Risikan khas dilakukan anggota KPDNKK dan Cawangan Khas PDRM Bukit Aman melalui penyamaran selain mendapatkan maklumat daripada pembekal yang mengedarkan dvd cetak rompak itu.

“Kilang itu dikesan terbabit aktiviti mengeluarkan DVD secara haram tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Cakera Optik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, antara DVD filem cetak rompak terbaru yang disita termasuk filem Zack Kapcai, BoBoiBoy, The Conjuring dan juga Suicide Squad.

Roslan berkata, pihaknya turut menahan empat lelaki orang tempatan dan tiga pekerja warga asing yang berada di dalam kilang itu.

“Pihak KPDNKK akan meneruskan kerjasama pintar dengan agensi lain seperti PDRM dalam usaha membanteras kegiatan pengilangan DVD secara haram atau tanpa lesen yang sah.

“Mengilang cakera optik tanpa lesen adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 4, Akta Cakera Optik 2000 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak lebih RM1 juta,” katanya

Sehubungan itu, Roslan menyarankan orang ramai membantu menyalurkan maklumat melalui talian hotline 1-800-886-800 atau e-aduan di http://e-aduan.kpdnkk.gov.my atau melalui pejabat-pejabat Kementerian yang berhampiran untuk tindakan segera.

Disiarkan pada: August 26, 2016 @ 6:15am
d