mutakhir

Buru 'kepala' kongsi gelap

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Polis Perak mengenal pasti 32 kumpulan kongsi gelap yang wujud di negeri ini termasuk tiga daripadanya paling berpengaruh dan aktif melakukan kegiatan gangsterisme serta jenayah kekerasan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, tiga kumpulan yang paling berpengaruh itu adalah Geng 08, 04 dan 36, manakala yang selebihnya kumpulan lain yang turut dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah di negeri berkenaan.

Menurutnya, kumpulan kongsi gelap terbabit dipercayai merekrut ahli seawal usia remaja dengan anggaran umur bagi setiap ahli dalam kumpulan berkenaan adalah antara 17 hingga 60 tahun.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti ketua bagi tiga kumpulan berbahaya itu melalui risikan dan maklumat daripada orang awam dengan pihaknya akan bertindak segera untuk membanteras serta memberkas mereka.

“Semua kumpulan ini dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah kekerasan termasuk jenayah berat seperti bunuh, cubaan membunuh, ugut, samun, dadah dan lain-lain.

“Jumlah ahli bagi setiap kumpulan adalah tidak menentu dan risikan sentiasa dijalankan bagi membolehkan tangkapan dilakukan, sekali gus memastikan keselamatan di negeri ini terjamin,” katanya dalam sidang media Op Cantas Khas 2, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, semalam.

Dalam Op Cantas Khas 2 yang dijalankan IPK Perak bermula 6 hingga 19 Ogos lalu, seramai 71 individu ditahan termasuk 30 ahli kumpulan kongsi gelap iaitu 19 ahli Geng 04, Geng 30 (6 orang), Geng 08 (3 orang), Geng 24 (1 orang) dan Geng 21 (1 orang).

Tian Kee berkata, daripada jumlah tangkapan itu, tiga daripadanya berada dalam senarai individu dikehendaki polis termasuk seorang dikehendaki mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Menurutnya, mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah kekerasan antaranya bunuh, samun, ugut, dadah dan memiliki senjata berbahaya.

Katanya, polis turut merampas pedang, parang, kerambit, pisau dan pistol palsu yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah, manakala semua suspek ditahan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: August 26, 2016 @ 6:37am
d