mutakhir

Iringan air mata

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: Suasana hiba menyelubungi keluarga Dian Suria Mohd Salleh, 45, apabila tangisan lima anaknya mengiringi pemergiannya ke Tanah Suci bersama suami, Azmi Khairulman, 47, pada musim haji tahun ini.

Dari jauh kedengaran suara tangisan kebanyakan keluarga jemaah menunjukkan perasaan sedih dan berat hati apabila perlu berpisah dengan ibu bapa selama sebulan untuk beribadat.

Dian Suria berkata, tangisan tidak henti anak bongsunya, Dian Aisya, 9, sebaik tiba di Kompleks Tabung Haji (KTH) hingga waktu pendaftaran masuk membuatkannya berasa berat hati untuk berpisah.

“Tangisannya yang kuat menyebabkan kami menjadi tumpuan keluarga jemaah haji yang lain. Walaupun dipujuk berulang kali tetapi tidak berkesan menenangkannya,” katanya ketika ditemui di KTH, di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengharapkan keadaan anak bongsunya itu baik seperti biasa dan dalam tempoh sebulan di Tanah Suci, saudara berdekatan kediamannya akan membantu memantau keadaan semua anak khususnya Dian Aisya daripada segi keselamatan serta penjagaan makan dan minum.

“Walaupun sudah ada membantu menjaga anak, jauh di sudut hati saya berasa lega kerana anak sulung yang bekerja di ibu negara sanggup berulang ke tempat kerjanya supaya dapat memastikan keadaan dan keperluan adik lengkap,” katanya yang berasal dari Kuala Selangor.

Sementara itu, kesedihan berpisah dengan keluarga turut dirasai pasangan guru, Rahayu Abu Kasim, 43, dan Ahmad Samsol Selamat, 44, apabila terpaksa berpisah sementara dengan lima anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

Rahayu berkata, dia sudah hampir seminggu berendam air mata akibat risau dengan keadaan anak sepanjang ketiadaannya kerana mereka masih perlukan perhatian dan bantuan untuk menguruskan diri.

“Walaupun sedih, namun saya perlu kuatkan semangat kerana yakin dengan aturan Allah SWT yang menjemput saya dan suami dua tahun lebih awal daripada tahun jangkaan iaitu 2018,” katanya yang berasal dari Bemban, Melaka.

Disiarkan pada: August 26, 2016 @ 9:00am
d