mutakhir

Demi Palestin!

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Mungkin bila pergi belum tentu saya kembali tapi saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Hidup atau mati dalam misi ini saya reda dan hanya berserah kepada kuasa Allah demi membawa harapan lebih dua juta rakyat Palestin yang memerlukan kebebasan,” demikian kata Penasihat Rose2Rose, Dr Fauziah Mohd Hassan.

Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri itu antara 15 aktivis wanita dari lebih 10 negara yang terpilih menyertai misi ‘Women’s Boat to Gaza (WBG)’, September depan bertujuan memberi pembebasan kepada rakyat Palestin daripada cengkaman rejim Zionis.

Beliau satu-satunya aktivis yang mewakili rantau Asia Tenggara dalam misi membawa mesej keamanan menggunakan kapal sepanjang 16 meter bermula 14 September dan dijadualkan tiba di Gaza pada 1 Oktober.

Selain Malaysia, negara lain yang terpilih dalam misi anjuran Freedom Flotilla Coalition (FFC) itu ialah Sepanyol, Kanada, Turki, Amerika Syarikat, Sweden, Ireland, New Zealand serta Australia sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Dr Fauziah yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) berkata, pada mulanya, beliau agak gementar untuk menggalas amanah besar itu, namun demi matlamat kemanusiaan menerimanya dengan sepenuh hati.

“Sebaik mengetahui mengenai misi ini, Julai lalu, saya mengakui berbelah bahagi dan melakukan solat istikharah sebelum meminta keizinan suami (Prof Mohd Alauddin Mohd Ali).

“Alhamdulillah, suami reda, malah pesannya supaya buatlah sesuatu untuk kebaikan ummah membakar lagi semangat saya dalam usaha ‘memerdekakan’ saudara kita yang ditindas di bumi sendiri itu.

“Jika saya sudah tiada atau mungkin tidak kembali, saya cuma berharap apa yang saya buat ini Allah terima dan perjuangan ini (membebaskan Palestin) diteruskan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, biarpun tidak mengetahui nasib atau menggambarkan apa yang bakal berlaku nanti, namun misi membawa keamanan untuk memecahkan sekatan di perairan Gaza itu perlu digerakkan dengan sepenuh hati bagi memberi tekanan kepada rejim berkenaan.

“Ketika pelayaran, ada beberapa aktiviti yang akan kami buat, antaranya menyampaikan mesej usaha membebaskan Palestin menerusi penerangan kepada penduduk di setiap persinggahan kapal.

“Usaha ini mungkin kerdil saja tapi saya percaya kalau semua pihak ambil peranan, sudah pasti ia akan memberi tekanan kepada Israel.

“Saya berharap semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama bersatu hati menyokong dan berdoa supaya kami berjaya memecahkan kepungan ke atas Gaza,” katanya.

Beliau yang berpengalaman lebih 17 tahun dalam aktiviti kesukarelawan, misi kemanusiaan kali ini agak berbeza yang memerlukannya membuat persiapan mental dan fizikal sejak sebulan lalu.

“Saya sudah membuat persediaan sebaik mungkin termasuk dari segi kerohanian dan cuba merasai pengawasan Allah setiap masa untuk menguatkan semangat dan emosi dalaman supaya nawaitu asal saya tidak lari.

“Selain itu, jadual harian saya sentiasa padat dengan kelas renang, teknik keselamatan diri, membuat laporan berita dan merakam gambar serta video sebagai persediaan untuk melaporkan segala perkembangan terkini yang berlaku sepanjang misi itu nanti,” katanya.

Selain itu, katanya, MyCARE juga melaksanakan kempen mengumpul dana bagi merawat rakyat Palestin yang tercedera akibat serangan rejim Israel bermula 2008 hingga 2014.

“Gaza satu ‘penjara’ terbesar di dunia, kegembiraan dan kehidupan mereka diragut Israel. Apa yang menyayat hati saya, lebih 40,000 yang cedera parah sejak 2008 lagi sengsara tidak dirawat kerana tiada dana mencukupi.

“MyCARE menggerakkan kempen penajaan pembedahan pesakit ini dengan sasaran 3,000 orang, sekali gus mengurangkan jangka masa senarai menunggu pembedahan dari 2022 kepada 2018.

“Begitu juga terdapat ratusan kanak-kanak yang kehilangan anggota badan dan MyCARE menyasarkan menaja kaki dan tangan palsu untuk hanya seramai 12 orang. Insya-Allah jika banyak dana terkumpul dapat diraih, ada penambahan penerima,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyumbang kepada akaun Maybank Islamic Berhad bernombor 564258560698 atas nama Humanitarian Care Malaysia Berhad atau menghubungi talian 013-30411604.

Disiarkan pada: August 27, 2016 @ 5:12am
d