mutakhir

Tak sempat sambil SPM

Oleh Nur Ain Musdad

Melaka: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebuah sekolah menengah di Alor Gajah disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka di sini, jam 11.30 pagi kelmarin, selepas koma enam hari akibat parah dibelasah sekumpulan lelaki.

Terdahulu, dalam kejadian di Teluk Gong, Masjid Tanah, jam 11 malam pada 19 Ogos lalu, mangsa, Muhammad Shahrul Asri Rosainif, 17, bersama abangnya Muhammad Shahrul Azuan, 20, dibelasah kira-kira 30 lelaki.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang tidak bermaya itu kemudiannya dicampak kumpulan lelaki terbabit ke kawasan pantai berhampiran sebelum ditemui pengguna jalan raya.

Pengguna jalan raya kemudiannya menghantar dua beradik itu ke Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak. Muhammad Shahrul Asri yang parah di kepala kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka.

Ibu mangsa, Noryati Abd Razak, 50, ketika ditemui memberitahu, pada petang sebelum kejadian, dua beradik itu keluar bersiar-siar di sekitar Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak dengan menaiki kereta tanpa menyedari power bank milik arwah tercicir.

“Selepas menyedari power bank miliknya tercicir, arwah mengajak abangnya ke lokasi berkenaan untuk mencarinya. Saya cuba halang kerana sudah malam.

“Saya pujuk arwah dengan berjanji akan membeli power bank baru namun dia bersama abangnya berkeras mahu keluar dengan membonceng motosikal,” katanya, semalam.

Noryati berkata, selepas kira-kira setengah jam, dia menerima panggilan daripada Muhammad Shahrul Azuan memberitahu arwah dibelasah sekumpulan lelaki di Teluk Gong menyebabkan dia dan suami, Rosainif Abdul, 44, bimbang.

Menurutnya, Muhammad Shahrul Azuan memaklumkan, ketika melalui kawasan itu, mereka didatangi kumpulan lelaki terbabit dari arah belakang dan dia terus memecut motosikal tanpa menyedari arwah terjatuh.

“Selepas memecut sejauh kira-kira 30 meter, baru Muhammad Shahrul Azuan sedar adiknya terjatuh, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana arwah sudah dikelilingi kumpulan terbabit.

“Ketika itulah Muhammad Shahrul Azuan hubungi saya untuk maklumkan berkaitan kejadian. Bagaimanapun, perbualan kami terputus apabila dia turut dibelasah,” katanya.

Menurut Noryati, dia terkilan kerana arwah tidak sempat menduduki peperiksaan SPM bermula minggu ini.

Jenazah Muhammad Shahrul Asri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paya Rumput.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan sudah menahan 13 individu berusia 24 tahun hingga 57 tahun pada 19 Ogos serta 20 Ogos lalu.

“Kes diklasifikasikan semula daripada Seksyen 148 Kanun Keseksaan ke Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh selepas kami mendapat maklumat mangsa sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: August 27, 2016 @ 5:18am
d