mutakhir

Pemburu haram guna media sosial

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Kepantasan media sosial sebagai elemen promosi menjadikan teknologi itu pilihan sindiket memasarkan hidupan liar secara haram untuk mengaut keuntungan mudah.

Kaedah itu mudah kerana dapat menghubungkan pengguna di dalam dan luar negara terutama menerusi Facebook, Instagram, WeChat dan WhatsApp.

Medium itu digunakan pemburu haram mencari pembeli untuk mendapatkan haiwan liar yang ditangkap.

Selain itu, mereka akan memilih pembeli menawarkan harga tinggi selepas promosi di Internet.

Bagaimanapun, tindakan itu menjurus kepada peningkatan perdagangan haram haiwan ikonik dan terancam di negara ini.

Ia menjadi tanggungjawab Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk melindungi kehidupan berkenaan bagi mengelakkan daripada pupus.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Perhilitan Hasnan Yusop berkata, pasaran maya kini dilihat rancak memperdagangkan hidupan liar.

Katanya, kebanyakan haiwan dijual dijadikan haiwan peliharaan, koleksi oleh pengumpul atau stok pembiakan dan bagi tujuan makanan eksotik.

“Antara laman sosial popular pemerdagangan haram haiwan liar adalah Facebook. Kebanyakannya dilakukan secara tertutup (closed group) yang hanya dapat dilihat oleh ahli kerana dipantau oleh pemiliknya.

“Itu menunjukkan wujudnya permintaan terhadap hidupan liar dan dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Antara spesies yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi ialah beruang matahari, orang utan, kambing gurun selain murai batu, tiong mas serta burung daun besar,” katanya ketika ditemui.

Menurut Hasnan, harga haiwan yang dijual bergantung pada spesies yang ditangkap.

Katanya, harga tinggi ditawarkan oleh pembeli sekiranya spesies itu haiwan terancam dan sukar ditemui.

“Antara spesies yang mendapat tawaran tinggi adalah orang utan melebihi RM15,000 dan beruang matahari dengan harga RM5,000 ke atas. Harga itu juga bergantung pada saiz dan usia haiwan ditawarkan.

“Keupayaan media sosial menghubungkan pedagang haram dengan pembeli berpotensi secara cepat, murah dan tanpa perlu dikenali sangat membimbangkan bagi hidupan liar terancam.

“Kita bimbang kegiatan ini akan meningkatkan lagi aktiviti pemburuan haram bagi mendapatkan bekalan haiwan untuk pasaran haram terbabit dan ia boleh menyebabkan berlaku kepupusan kepada spesies terancam,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2016 @ 5:04am
d