mutakhir

Wanita 'Gelang Merdeka' terima anugerah

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Kehadiran wanita digelar Gelang Merdeka Datuk Siti Rahmah Kassim menarik perhatian ratusan wanita yang menghadiri Sambutan Hari Wanita Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Kesanggupan Siti Rahmah, 90, menyerahkan gelang emas hadiah perkahwinannya bagi membantu rombongan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ke London menuntut kemerdekaan menjadi sebutan hingga kini.

Veteran wanita UMNO itu mencatat sejarah sebagai wanita pertama menyandang jawatan sebagai wakil rakyat di Negeri Sembilan bermula dari 1959 hingga 1969.

Kehebatannya itu melayakkan beliau dipilih menerima Anugerah Tokoh Wanita Negeri Sembilan disampaikan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Anak Siti Rahmah, Prof Puan Sri Dr Rohaty Mohd Majzub berkata, beliau bangga kerana ibunya dipilih menerima anugerah berkenaan dan sudah pasti ia menjadi motivasi kepada wanita lain.

Beliau yang juga Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, keluarganya bersyukur kerana jasa ibunya diiktiraf.

“Sungguhpun ibu saya sudah uzur dan berusia 90 tahun, namun semangatnya masih kental dan teguh terhadap perjuangan, malah memori jangka panjangnya juga tidak pernah luntur dan beliau sentiasa menyebut mengenai perjuangan dan kemerdekaan,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2016 @ 5:12am
d