mutakhir

888 disewa haram

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Pasukan perisikan khas yang ditubuhkan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan 888 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) disewakan secara haram kepada pihak ketiga.

Ia hasil siasatan sehingga 15 Ogos lalu berhubung tindakan penghuni yang menyewakan rumah kepada warga asing.

Ada antara penghuni itu mampu memperoleh untung ‘atas angin’ RM1,000 sebulan.

Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti (JPPPK) DBKL Mohd Muzammer Jamaluddin berkata, pihaknya kesal dengan tindakan penyewa asal berikutan perbuatan tidak bersyukur mereka selepas permohonan menduduki unit rumah terbabit diluluskan.

“Selain 640 unit yang masih dalam pemerhatian, kami membatalkan kontrak atau menyita 248 unit selepas mereka terbukti menyewakan unit PPR ini kepada pihak ketiga.

“Kami kesal kerana segelintir yang menyewakan unit ini kepada warga asing sedangkan kemudahan ini khas untuk warga tempatan,” katanya sejurus Op Bersepadu JPPPK di PPR Batu Muda, di sini, malam kelmarin.

Operasi bermula jam 10 malam disertai 50 anggota dan pegawai penguat kuasa DBKL yang memeriksa 70 unit rumah di PPR itu.

Muzammer berkata, dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan 31 notis penghuni tidak sah (PTS) dan 28 notis penghuni tidak menetap (PTM).

“PTS dikeluarkan selepas kami mendapati penghuni berbeza daripada penama di dalam sijil yang kami keluarkan, tiada pertalian atau kena mengena dengan penyewa asal. Ini bermakna penyewa asal memberi sewa kepada orang ketiga.

“PTM pula dikeluarkan apabila kami mendapati penghuni tiada di rumah ketika bancian dilakukan. Jadi JPPPK membuat bancian susulan tujuh kali bagi memastikan penyewa asal tidak menyalahgunakan kemudahan disediakan,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya mengeluarkan dua kompaun kepada penghuni kerana kesalahan membawa naik motosikal ke tingkat atas dan memelihara anjing.

“Mengikut Undang-Undang Kecil Perumahan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2000, kedua-dua kesalahan itu boleh dikompaun sehingga RM2,000.

“Dari segi peraturan, individu yang memberi sewa unit PPR kepada pihak ketiga jelas melanggar syarat Perjanjian Penyewaan Rumah DBKL,” katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2016 @ 5:18am
d