mutakhir

Pahit ditelan

Oleh Norasikin Daineh

Semporna: “Amat pahit untuk ditelan kerana bukan saja kehilangan anak dan menantu, malah tiga cucu kesayangan saya,” kata Siti Nurrah Kello, 46, ibu kepada Nurijah Ekorah, 32, yang maut bersama suami serta tiga anaknya termasuk bayi perempuan berusia sebulan selepas kereta dinaiki mereka sekeluarga bertembung pacuan empat roda di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu-Tungku, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.50 petang kelmarin, suami Nurijah iaitu Mazlan Mohd Yusof, 33, bersama tiga anak mereka, Muhammad Eznur Shahziman, 6, Nurul Suerah, 4, dan Nurul Zaheera berusia sebulan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Sementara itu, seorang lagi anak mangsa, Nurul Zuelah, 7, yang parah kini dilaporkan stabil, namun masih menerima rawatan di Hospital Lahad Datu.

Menurut Siti Nurrah, anak sulungnya datang bersama keluarga menghabiskan masa cuti hujung minggu di Felda Umas, Tawau, untuk kerana cuti sekolah.

“Pada hari kejadian, mereka bertolak dari rumah pada jam 9 pagi untuk kembali ke Felda Sahabat kerana menantu saya (Mazlan) bekerja pada Isnin (semalam) dan anaknya pula bersekolah.

“Sebelum mereka bertolak, Nurijah tidak kelihatan seperti biasa iaitu bersalaman dengan saya, namun dia menyuruh semua anaknya mencium dan memeluk saya seolah-olah petanda mereka akan meninggalkan kami,” katanya di tanah perkuburan Islam di Kampung Salimbungan, di sini, semalam.

Siti Nurrah menyifatkan Nurijah anak kesayangannya walaupun mereka tidak tinggal bersama, namun setiap kali mempunyai masa terluang, mereka sekeluarga berkunjung ke rumahnya di Felda Sahabat.

Disiarkan pada: August 30, 2016 @ 9:46am
d