mutakhir

Anak istimewa termenung pilu

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kelana Jaya: “Saya mahu berdoa depan Kaabah supaya Allah SWT pulihkan anak istimewa kami,” itu luahan Halimah Abdullah, 70, apabila mengenang nasib anak istimewanya, Haidatul Najwa Abu Hasan, 27.

Haidatul Najwa mengalami kecacatan yang mana tidak mampu berjalan dan bercakap akibat demam panas sejak lahir.

Halimah berkata, ujian yang menimpa anak bongsunya membuatkan dia dan suami, Abu Hasan Akob@Yaakob, 69, lebih sabar dalam menguruskan keperluan anak istimewanya itu.

“Kami ada lima anak termasuk Haidatul Najwa, tetapi keistimewaan dirinya sentiasa memerlukan perhatian yang lebih walaupun pada mulanya agak sukar untuk memahami kehendaknya.

“Ibu mana tidak sedih apabila melihat anak orang lain membesar dengan normal, tetapi kami sentiasa reda kerana dia adalah anak syurga kami,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, semalam.

Menurutnya, Haidatul Najwa tidak menunjukkan apa-apa reaksi semasa diberitahu akan meninggalkannya selama sebulan bagi mengerjakan haji.

“Tetapi semalam dia mula berkelakuan pelik iaitu tidak tidur walaupun sudah lewat malam dan caranya seperti termenung seorang diri.

“Apabila kakaknya bertanya, dia lebih memilih untuk berdiam diri dan mungkin disebabkan dia mula merasa kami akan pergi lama kerana nampak beg pakaian yang sudah siap dikemas,” katanya yang berasal dari Pendang, Kedah.

Halimah berkata, biarpun kebanyakan sumber kewangan diperuntukkan kepada perbelanjaan Haidatul Najwa, namun semangatnya dan suami untuk ke Makkah tidak pernah pudar.

“Kami sama-sama berusaha mengumpul wang sedikit demi sedikit hasil daripada kerja kampung yang diusahakan suami seperti bertukang rumah dan saya pula bermain kutu.

“Bukan senang bagi kami untuk membesarkan lima anak dan perbelanjaan harian perlu dirancang dengan baik supaya mencukupi hingga hujung bulan.

“Jadi, hasil bermain kutu bersama beberapa rakan disimpan terus ke akaun Tabung Haji kerana gaji suami digunakan untuk keperluan seharian dan lampin pakai buang Haidatul Najwa,” katanya.

Menurutnya, selepas empat anaknya sudah bekerja, mereka sentiasa membantu daripada segi kewangan kerana dia sendiri perlu mendapat rawatan doktor akibat penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Sekarang ini saya tidak mampu untuk melakukan apa-apa kerja kerana tangan dan kaki berasa kebas sehingga tidak mampu memegang sesuatu barang atau berdiri lama,” katanya.

Halimah dan suami antara 450 jemaah haji yang berangkat ke Tanah Suci menerusi penerbangan KT 37B, semalam.

Disiarkan pada: August 30, 2016 @ 9:49am
d