mutakhir

Banduan santai bawah rumah

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: “Kami sekeluarga tidak tahu banduan yang melarikan diri dari penjara sebenarnya bersembunyi di bawah rumah,” kata penduduk kampung dikenali sebagai Abdullah, 31.

Banduan dikenali Ab Mutalib Zahari, 27, ditahan polis di Kampung Padang Lembik, Ketereh, dekat sini, jam 5.50 pagi semalam ketika berbaring di bawah rumah penduduk selepas melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, Sabtu lalu.

Abdullah berkata, dia hanya mengetahui banduan berkenaan bersembunyi di bawah rumahnya selepas terdengar bunyi bising pada awal pagi.

“Saya dan keluarga tidak tahu sejak bila lelaki itu bersembunyi di bawah rumah.

“Kami sekeluarga hanya tahu sebaik terdengar sesuatu dan melihat dari tingkap rumah kelibat lelaki ditangkap polis dan terkejut dimaklumkan banduan yang melarikan diri dari penjara Sabtu lalu ada di bawah rumah,” katanya, semalam.

Menurutnya, sebelum ini, penduduk pernah terserempak dengan banduan terbabit mengayuh basikal di sekitar kawasan kampung.

“Bagaimanapun, lelaki itu bergegas melarikan diri sebaik menyedari anggota polis memburunya,” katanya.

Harian Metro kelmarin melaporkan dua banduan meloloskan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, jam 12.30 tengah hari Sabtu lalu sebelum seorang daripada mereka ditangkap setengah jam kemudian ketika menceroboh masuk Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan seorang lagi melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi berkata, banduan terbabit ditahan ketika anggotanya membuat rondaan di kampung berkenaan.

“Lelaki itu ditangkap dengan bantuan pegawai penjara selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kelmarin, rakan lelaki itu berusia 24 tahundireman empat hari oleh Mahkamah Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: August 30, 2016 @ 10:04am
d