mutakhir

Amuk di balai polis

Oleh myMetro

Kuala Selangor: Seorang lelaki berjubah kelabu mencetuskan panik apabila mengamuk dan memecahkan beberapa peralatan di dalam Balai Polis Jeram di sini, menggunakan parang.

Dalam kejadian jam 9.30 malam kelmarin, pesakit mental berusia 26 tahun itu dipercayai naik angin mendadak selepas menuduh polis gagal menahan penjenayah yang menceroboh rumah ibu saudaranya.

Sumber berkata, suspek mengeluarkan parang sebelum menetak dua monitor komputer dan mesin cetak di meja kaunter aduan balai polis itu.

“Bagaimanapun, ahli keluarga lelaki itu muncul di balai polis sebelum memujuknya. Malangnya lelaki terbabit melibas parang panjang dibawa menyebabkan cermin besar pintu pejabat itu pecah.

“Selepas dipujuk bapanya, lelaki itu beransur tenang dan menyerahkan parang berkenaan,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, lelaki itu dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk pemeriksaan dan siasatan mendapati dia pernah cedera di kepala akibat kemalangan dua tahun lalu.

“Sejak pulih daripada kecederaan, lelaki itu masih menerima rawatan di Bahagian Psikiatrik Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

“Sebelum muncul di balai polis itu, lelaki itu turut mengamuk di rumahnya dan keluar dengan memandu kereta bapanya sambil diekori ahli keluarga lain,” katanya.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958, serta Seksyen 90 Akta Polis.

Disiarkan pada: August 31, 2016 @ 8:20am
d