mutakhir

Jagung 'awan biru'

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: “Tidak rugi berbudi pada tanah. Ia akan berjasa jika kita mengusahakannya.”

Itu kata-kata azimat yang sentiasa diingati anak muda ini, Ramana K Naidu, 26, yang kini mengusahakan 81 hektar tanah pelbagai tanaman termasuk jagung bijirin.

Ramana sanggup berhenti kerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat penerbangan di Thailand untuk ‘berbudi pada tanah’ dengan hasil yang lumayan.

Dalam usia masih muda, pemuda kelahiran Kedah itu memiliki syarikat Famox Agrotech Sdn Bhd selepas usahanya untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia sebagai juruterbang mengambil masa agak lama.

“Saya pulang ke negara ini pada 2011 dan cuba meminta pekerjaan di dua syarikat penerbangan di Malaysia, bagaimanapun saya diminta menunggu selama enam bulan.

“Dalam tempoh berkenaan, saya terfikir mempunyai komitmen yang besar untuk menyara keluarga hingga mendapat idea menjadi usahawan makanan,” katanya ketika ditemui di Konvensyen Agropreneur Muda dan Pameran Produk 2016 yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dalam ucapannya, Ahmad Shabery mahu usahawan menjadikan Ramana contoh terbaik berikutan usaha anak muda itu menanam jagung bijirin dan mengurangkan kebergantungan import bahan makanan utama ayam itu yang berjumlah empat juta metrik tan bernilai RM3.2 bilion setahun.

Ramana berkata, dia mula mengusahakan 0.4 hektar tanah tanaman kacang panjang di atas tanah milik individu lain di Kampung Bujang, Merbok, Kedah.

“Tanaman lelaki warga asing itu hampir boleh dituai, tetapi disebabkan masalah tertentu, dia perlu pulang ke negaranya dalam tempoh terdekat.

“Disebabkan itu, saya terus mengambil alih tanamannya dengan bayaran RM2,000 dan hasilnya saya menerima pulangan sebanyak RM14,000 daripada keseluruhan kacang panjang yang dijual,” katanya.

Menurutnya, walaupun berhujan dan berpanas mengerjakan tanah hampir empat tahun, dia berbangga apa dicapainya kini menjadi rujukan kepada kerajaan sebagai perintis projek tanaman jagung bijirin.

Disiarkan pada: August 31, 2016 @ 9:11am
d