mutakhir

8 lelaki usung pesakit asma 150kg

Oleh myMetro

Cheras: Seorang lelaki yang mempunyai komplikasi berat badan berlebihan terpaksa diusung lapan anggota bomba keluar dari kediamannya selepas diserang penyakit asma.

Dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, mangsa, Mohd Nordin Mohamad Nor, 40, yang mempunyai berat badan melebihi 150 kilogram (kg) terlantar sakit di dalam rumahnya di pangsapuri Taman Sinaran, Balakong, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang, Faizad Amirul Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari pihak Hospital Serdang jam 8.35 malam yang meminta bantuan bomba.

“Seramai lima anggota dan pegawai bomba serta tiga anggota perubatan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak dapat bergerak kerana mengalami asma,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, isteri mangsa mendakwa dia panik dan segera menghubungi pihak hospital bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

“Malangnya petugas paramedik hospital tidak berdaya untuk membawa suami wanita itu turun dari kediamannya.

“Susulan itu operasi khas dilakukan bagi memastikan pesakit itu dapat dibawa ke hospital segera untuk menerima rawatan lanjut berikutan mengalami kesesakan nafas,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba terpaksa memapah mangsa beramai-ramai menggunakan pengusung untuk menuruni tangga pangsapuri itu.

“Kami mengambil masa lebih 15 minit untuk menurunkan mangsa sebelum dimasukkan ke dalam ambulans,” katanya.

Dia berkata, mangsa kemudian di bawa ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: August 31, 2016 @ 9:13am
d