mutakhir

Seronok Pak Nil datang

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Kehadiran pengacara popular Datuk Aznil Nawawi ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2016 di sekolah berkenaan bertambah meriah.

Beliau adalah ikon SBJK yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika lawatannya ke sekolah terbabit pada Jun lalu.

Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil meluangkan masa hampir satu jam bersama murid sekolah berkenaan dengan melakukan pelbagai aktiviti kemerdekaan.

Beliau berkata, pembabitannya di sekolah itu adalah secara sukarela dua tahun lalu kerana mahu membantu mereka berjaya dalam kehidupan dan seterusnya dapat membela nasib keluarga.

“Saya sudah bersama-sama dengan mereka dua tahun lalu memandangkan saya adalah Pengerusi Persatuan Alumni Prince’s Road School iaitu sekolah asal sebelum tertubuhnya SBJK.

“Pertama kali saya datang di sini dapat melihat semua murid mempunyai tahap keyakinan diri sangat rendah yang mungkin disebabkan latar belakang keluarga mereka,”katanya.

Hadir sama Pengurus Komunikasi dan Perhubungan Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia Dr Hayati Ismail dan Pengetua SBJK Zulkernai Fauzi.

“Kehadiran saya bersama Najib Razak Club ke sekolah ini secara tidak langsung dapat mengelakkan mereka rasa tersisih.

“Sebab itu masyarakat perlu mendampingi golongan ini untuk bersama-sama menghulurkan bantuan yang boleh memberi nilai tambahan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan seorang pakar bahasa Inggeris dari Korea dan pihak itu bersedia memberikan khidmat mengajar murid SBJK menggunakan kaedah pembelajaran secara mudah.

Disiarkan pada: August 31, 2016 @ 9:17am
d