mutakhir

Bergaya serlah patriotik [METROTV]

Oleh Nor Shafinaz Sari

Alor Gajah: Ibu bapa dan orang ramai terhibur dengan gelagat 22 murid Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) yang mempamerkan semangat patriotik mereka dengan memperagakan pakaian beragam bertemakan Jalur Gemilang dan merdeka pada Pertandingan Pakaian Beragam sempena Sambutan Hari Kebangsaan.

Pada pertandingan diadakan TADIKA Jabatan kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini, semalam, peserta tampil dengan pelbagai pakaian beragam dihasilkan hasil kreativiti ibu bapa mereka menggunakan gaun, tuxedo, baju Melayu dan kurung.

Pengerusi TADIKA KEMAS Kampung Permatang Abdullah Md Derus berkata, objektif pertandingan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

“Program ini turut memberi kesan kepada ibu bapa kanak-kanak kerana mereka lahir selepas negara mencapai kemerdekaan.

“Sambutan diterima daripada ibu bapa sangat baik, malah mereka bersemangat serta sanggup menghabiskan masa dan wang menghasilkan rekaan kreatif untuk digayakan anak masing-masing,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Ismail Othman, Penyelia Perhubungan KEMAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi Zainal Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Permatang Zainon Sampol.

Sementara itu, Ismail berkata, program berkenaan baik untuk memupuk semangat cintakan negara.

“Program perlu dianjurkan lagi pada masa depan kerana ia sarat nilai positif,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2016 @ 9:22am
d