mutakhir

'Herek tayar sikal'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang lelaki menzahirkan semangat kemerdekaannya dengan berbasikal secara solo semata-mata mahu membantu golongan asnaf di seluruh negeri ini.

Lebih unik, Tuan Hissam Tuan Mamat, 33, yang berkayuh bersendirian sejauh 590 kilometer mulai kelmarin hingga 3 September ini bagi membantu 59 golongan asnaf sebagai simbolik sempena sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Kakitangan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) itu berkata, ideanya untuk berkayuh secara solo kerana mahu mencipta kelainan di samping melakukan kerja kebajikan membantu golongan memerlukan.

Menurutnya, beberapa jajahan yang akan dilalui termasuk Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

“Di setiap jajahan ini, saya akan singgah di satu masjid untuk mengagihkan barang keperluan harian kepada enam golongan asnaf yang dipilih Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) masing-masing.

“Saya pula akan mewakafkan dua persalinan kelengkapan alat solat lelaki dan perempuan untuk kegunaan masjid di setiap jajahan selain melakukan kerja kebajikan membersih tandas masjid yang menjadi tempat persinggahan untuk bermalam.

“Setiap ahli Mountain Bike Kelantan (MBK) di setiap jajahan juga akan mengiringi kayuhan sejauh 15 hingga 25 kilometer bagi memberi semangat dan sokongan sepanjang misi kayuhan solo ini,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Mazli Zakuan Mohd Noor melepaskan kayuhan ‘Kembara Solo Patriotik Herek Tayar Sikal’ iaitu Misi Kembara 59 Asnaf Kelantan di pekarangan Bangunan PKINK, kelmarin.

Tuan Hissam berkata, misi itu bertujuan merasai kesusahan asnaf selain menjinakkan diri dengan pengembaraan yang lebih menjurus kepada kebajikan.

Disiarkan pada: September 1, 2016 @ 8:59am
d