mutakhir

Semangat Dirgahayu

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam melancarkan ‘DiverseCity 2016: Festival Kesenian Antarabangsa Kuala Lumpur’ yang berlangsung selama lima minggu.

Beliau yang tiba bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di pusat beli-belah Berjaya Times Square, Bukit Bintang, di sini, kira-kira jam 3 petang turut meluangkan masa menyaksikan persembahan kesenian dan melawat pameran fotografi yang dianjurkan untuk memperingati Hari Kebangsaan.

Pameran fotografi yang melambangkan semangat Dirgahayu itu menampilkan hasil kreatif tiga jurugambar iaitu Rahman Roslan, Ahmad Yusni dan Hasnoor.

Pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan kebudayaan Malaysia dan rantau Asia Tenggara menerusi genre tarian, tradisi, sastera, muzik dan banyak lagi disediakan sepanjang festival berlangsung dari 31 Ogos hingga 2 Oktober depan.

Pengarah festival Datin Sunita Rajakumar berkata, edisi kedua acara tahunan itu menampilkan lebih 50 aktiviti kesenian yang akan diadakan di 80 lokasi di ibu negara.

“Atlet terunggul negara (di Sukan Olimpik Rio baru-baru ini) bukan saja mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing, tetapi juga menyediakan kita dengan detik perpaduan.

“Kita juga berharap artis tempatan yang mencapai kecemerlangan dan pengiktirafan di luar negara akan membawa bersama nama negara bertuah ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2016 @ 9:01am
d