mutakhir

Betul-betul Sehati Sejiwa [METROTV]

Oleh Nabihah Kamal

Kuala Lumpur: Kemeriahan sambutan kemerdekaan dirasai apabila ribuan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat berkumpul bagi memeriahkan perarakan Hari Kebangsaan 2016, di Dataran Merdeka, di sini, semalam.

Hujan renyai pada awal pagi, tidak sedikit pun mematahkan semangat peserta dan pengunjung untuk menjayakan sambutan berkenaan.

Bertemakan Sehati Sejiwa, kemeriahan sambutan dan semangat kecintaan jelas terpancar di raut wajah peserta dan pengunjung dan peserta perbarisan membanjiri lokasi yang penuh bersejarah terbabit seawal jam 6.30 pagi.

Semangat kecintaan itu jelas terbukti apabila kira-kira 14,500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat mengambil bahagian bagi 10 segmen dianjurkan tahun ini membabitkan kewarganegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraman awam, keselamatan negara, pertunjukan udara dan komponen rakyat bersepadu.

Acara perbarisan dan perarakan itu bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada jam 8 pagi.

Mereka disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut serta, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom serta barisan menteriKabinet serta perwakilan asing.

Dataran Merdeka kemudiannya bergema dengan nyanyian lagu Negaraku yang mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serentak itu 14 das tembakan kehormat turut kedengaran yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara dan persembahan Grafik Kreatif pelbagai formasi daripada 2,000 pelajar dari sekolah menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Pertunjukan maskot daripada watak utama animasi terbitan syarikat tempatan turut menarik perhatian orang ramai terutamanya kanak-kanak.

Tidak ketinggalan persembahan khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan mempamerkan 157 kenderaan pelbagai jenis dimiliki mereka sejak 1950 hingga kini.

Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula terdiri daripada 30 pegawai dan 1,523 anggota lain-lain pangkat bersama 108 aset darat termasuk aset kenderaan perisai AV 8X8 atau dikenali ‘Gempita’ dan kereta perisai model ‘Adnan’ ACV 300.

Selain itu, pertunjukan udara daripada dua helikopter Nuri, SUPER LYNX, AUGUSTA, FENNEC, PILATUS PC 7, dan Sukhoi 30 MKM turut menjadi perhatian.

Manakala, TLDM pula tampil buat dengan pakaian seragam bercorak celoreng digital selepas dilancarkan bulan lalu sebelum majlis diakhiri dengan persembahan khas komponen Rakyat Bersepadu yang menampilkan keunikan kepelbagaian bangsa, disertai 1,000 penari.

Disiarkan pada: September 1, 2016 @ 10:14am
d