mutakhir

Usahawan perlu disiplin diri dari awal

Kuala Lumpur: Bakal usahawan perlu mempunyai disiplin dan kelebihan tersendiri untuk memastikan perniagaan berjaya bagi mengelakkan gagal membuat bayaran balik pinjaman yang diberi oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz berkata, gagal mengembangkan perniagaan bukan punca utama peminjam liat membayar pinjaman, tetapi masalah disiplin diri yang tidak diamalkan dalam diri sejak awal.

“Untuk menjadi peniaga berjaya, perlu ada kelebihan dan strategi sendiri sebelum membuat pinjaman. Pentingnya disiplin ilmu asas dalam perniagaan supaya pinjaman boleh bayar balik ikut jadual.

“Apabila ramai peminjam gagal membuat bayaran balik, ia menjejaskan proses pinjaman bakal usahawan yang akan datang,” katanya selepas merasmikan majlis penyampaian cek pinjaman kepada peserta Program Pentas Usahawan (PPU) di Casa Heliconia, di sini, semalam.

Menurutnya, sekiranya masalah itu berterusan, fenomena skim pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) boleh berlaku seperti skim pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

“Sekiranya ramai peminjam yang membayar balik, lebih banyak tawaran pinjaman yang akan TEKUN berikan kepada bakal usahawan.

“Ia sekali gus memudahkan kerajaan untuk merancakkan skim bantuan golongan pendapatan rendah yang mahu mengembangkan perniagaan,” katanya.

Pada majlis itu, 55 bakal usahawan menerima pinjaman RM10,000 seorang daripada TEKUN melalui Program Pentas Usahawan (PPU) yang dianjurkan oleh Pusat Pembelajaran Usahawan Bumiputera Maju Malaysia (PPIUB).

Disiarkan pada: September 2, 2016 @ 11:20am
d