mutakhir

Telan air liur dengar RM175,000

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Seorang pemotong rumput hanya mampu menelan air liur apabila pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM175,000 terhadapnya atas 25 pertuduhan pilihan melupuskan motosikal curi di Mahkamah Majistret,
di sini, semalam.

Tertuduh, Engku Mohd Al Amin Engku Ali, 25, dari FELDA Chini Timur 1, Pekan yang sebelum itu mempamerkan riak wajah selamba ketika membuat pengakuan tidak bersalah terkedu apabila dimaklumkan mengenai jumlah jaminan itu.

Dia kemudian mengemukakan rayuan kepada Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali supaya mengurangkan jumlah jaminan itu atas alasan hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan pendapatan sekitar RM700 sebulan dan perlu menyara ibu serta adik yang masih bersekolah.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melupuskan harta curi iaitu 25 motosikal dengan sebab dia mempercayainya sebagai harta curi dari tempoh Mei 2014 hingga Ogos 2016.

Dia melakukan kesalahan itu di pelbagai lokasi termasuk di sekitar FELDA Chini, Kuantan dan Jalan Kuantan-Segamat.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Noor Zaihan kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 yang mana masing-masing RM3,000 bagi setiap pertuduhan sebelum menetapkan tarikh 28 September ini untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: September 3, 2016 @ 5:18am
d