mutakhir

'R' tanda rasmi Pak Razak

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Chukai: Pak Razak Tukang Parang, ia nama yang tidak asing lagi dalam kalangan penggemar parang dan pisau tradisional Melayu di Terengganu.

Warga emas berusia 72 tahun itu satu-satunya pembuat parang dan pisau yang paling lama dan masih kekal beroperasi di Kampung Jabur Kubur, Kemaman.

Uniknya, parang atau pisau hasil tangan warga emas itu mempunyai tanda tersendiri iaitu ukiran huruf R pada bilah parang atau pisau membuatkan sentuhannya berbeza dan dapat dikenali pembeli atau pengguna.

Menjelang musim korban sempena Aidiladha, Pak Razak atau nama sebenarnya Razak Salleh antara yang paling sibuk kerana perlu menyiapkan tempahan pisau sembelih dan melapah daripada pelanggan.

Razak berkata, dia menghasilkan parang dan pisau sejak 1952 malah pelanggannya datang dari seluruh negara.

“Biasanya, dua bulan menjelang Aidiladha, saya menerima tempahan bagi menghasilkan 80 hingga 100 bilah pisau untuk sembelih serta melapah. Selain daripada musim korban, saya menerima antara 40 hingga 50 tempahan sebulan. Ada yang terpaksa ditolak kerana faktor kesihatan.

“Jika diikutkan, pada usia sekarang, sebenarnya saya ingin menghentikan operasi dan menyerahkan kerja menghasilkan parang dan pisau kepada anak, namun dorongan serta permintaan pelanggan menyebabkan saya meneruskan kerja ini,” katanya.

Menurut Razak, bagi memastikan tempahan yang diterima dapat disiapkan pada waktu yang dijanjikan, dia turut mengupah dua pekerja selain dibantu anak keempatnya, Halim, 42.

“Kami menyiapkan pelbagai jenis parang serta pisau dan menggunakan dua jenis besi terbaik iaitu besi spring dan besi mata ketam. Kebiasaannya, pelanggan lebih menggemari besi mata gergaji walaupun ia agak mahal berbanding besi lain tetapi kualitinya, terutama berkaitan ketajaman serta tahan karat, menyebabkan ia menjadi pilihan.

“Selain menerima tempahan untuk parang atau pisau baru, saya juga menawarkan perkhidmatan mengasah parang serta pisau lama dengan mengenakan caj RM5 sebilah bergantung kepada keadaan mata parang atau pisau berkenaan.

“Kini, saya hanya mengambil tempahan dalam kalangan saudara dan rakan terdekat. Saya bimbang pelanggan kecewa jika tempahan diterima terlalu banyak dan tidak dapat disiapkan pada waktu ditetapkan,” katanya.

Menurut Razak, ramai yang datang ke bengkelnya untuk mempelajari teknik menghasilkan parang dan pisau tetapi tidak ramai yang berjaya menguasai ilmu itu kerana tidak sabar selain cepat putus asa apabila gagal menyiapkan bilah mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Saya mempunyai ramai anak murid tetapi hanya 10 saja yang berkebolehan membuat parang dan pisau dengan baik. Saya bangga apabila melihat anak didik yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang pengalaman kini mampu menghasilkan parang juga pisau sendiri,” katanya.

Sementara itu, Halim berkata, dia mempelajari teknik menghasilkan bilah parang dan pisau daripada bapanya sejak berusia 15 tahun.

“Sebagai anak, memang menjadi tanggungjawab untuk berbakti kepada ayah. Selain menimba pengalaman serta ilmu pertukangan besi, saya juga dapat meneruskan tradisi nenek moyang,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2016 @ 5:16am
d