mutakhir

TH perkenal Safari Wukuf

Oleh Safar Ahmad

Makkah: Bagi memberi kemudahan kepada jemaah yang dirawat di pusat rawatan serta hospital melakukan ibadat wukuf, Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan inisiatif baru dikenali Safari Wukuf, bermula tahun ini.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Saiful Azlan Sharif berkata, pesakit akan dibawa ke Arafah pada pagi 9 Zulhijjah menggunakan dua bas khas yang diubah suai di samping bas biasa dan ambulans.

Katanya, mereka akan berada sebentar di Arafah sebelum dibawa pulang semula ke pusat rawatan. Dianggarkan setiap tahun 110 pesakit dirawat di pusat rawatan menjelang Hari Wukuf.

“Sebelum ini kita bawa jemaah sakit yang kita fikirkan masih berkemampuan ke Arafah sehari sebelum wukuf iaitu pada 8 Zulhijjah, manakala selebihnya dibawa menggunakan bas atau ambulans pada pagi 9 Zulhijjah.

“Bagaimanapun, memandangkan daripada pengalaman tahun sebelum ini yang mana suhu di Arafah mencecah 52 darjah Celsius, kita lakukan bedah siasat tahun lepas dan kita berpendapat bagi jemaah yang sakit adalah lebih baik kita bawa mereka berwukuf sebentar dan pulang semula ke pusat rawatan,” katanya dalam sidang media di Pusat Rawatan TH Syishah Al-Mubarak.

Beliau berkata, pasukan perubatan akan memutuskan jemaah mana yang akan dibawa menyertai Safari Wukuf mengikut penyakit atau tahap ketenatan pesakit, manakala mereka yang berada dalam keadaan koma tidak akan dibawa.

Katanya, pesakit yang tidak serius pula akan dibawa menggunakan tiga bas biasa dengan setiap kenderaan akan ditempatkan pembimbing ibadat haji Tanah Suci untuk membantu pesakit melakukan ibadat.

Menurut beliau, dua bas akan diubah suai yang mana lantainya disesuaikan untuk diletakkan katil atau tangki oksigen.

Disiarkan pada: September 4, 2016 @ 5:22am
d