mutakhir

Tuah sajian 'karipoley'

Alor Setar: Siapa sangka idea kreatif Budiman Bistari Mohamed, 41, menggunakan bahan berasaskan daun kari berjaya menambat hati juri, sekali gus dinobatkan sebagai juara Raja Kuah Knorr peringkat zon Utara, semalam.

Program anjuran Unilever Food Solutions (UFS) itu menyaksikan 10 peserta dari seluruh negara termasuk Kedah beradu kehebatan memasak hidangan berkuah menggunakan resipi tradisi masing-masing.

Menurut Budiman, walaupun berhadapan dengan kekangan masa bagi menyiapkan menu dinamakan ‘Daging Purba Kuah Karipoley Karipoley Knorr’, masa selama sejam diperuntukkan itu digunakan sebaiknya menggunakan bahan keluaran Knorr termasuk ‘Knorr Chicken Stock’ dan ‘Knorr Pasti Sedap’.

Dia yang juga pemilik trak makanan di Ipoh berkata, idea pemilihan hidangan itu dibuat berdasarkan kepakarannya selama 25 tahun sebagai tukang masak hotel jenis menu masakan tradisi Melayu.

“Resipi ini sebenarnya resipi turun temurun arwah datuk yang diturunkan kepada ibu dan seterusnya anak-anaknya.

“Kebetulan pula saya lebih cenderung kepada jenis masakan sebegini dan dari situ, timbul idea untuk mengolah semula resipi turun temurun itu kepada sedikit kelainan bersesuaian dengan tema pertandingan dan masa diberikan.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka dinobatkan sebagai juara kerana persaingan begitu sengit berikutan ada yang tukang masak dan pemilik restoran, sudah tentu masakan mereka tidak kurang hebatnya,” katanya yang berasal dari Sungai Petani dan menetap di Sepang, Selangor.

Budiman membawa pulang hadiah wang tunai RM6,500 termasuk set barangan dapur dan hamper Knorr.

Tempat kedua dimenangi Zainab Mohd Hussain, 44, yang menyediakan ‘Masak Lemak Udang dan Cendawan Sisir Knorr’ dan tempat ketiga, Mohammad Iskandar Ishak, 31, dengan masakan ‘Kari Rusuk Lembu Istimewa Ala Knorr Bersama Rias Batang Pisang’.

Disiarkan pada: September 5, 2016 @ 11:17am
d