mutakhir

Anak meronta turun teksi terus ghaib

Melaka: “Sudah kering air mata mengenangkan bagaimana nasib anak lelaki saya kerana dia kemurungan dan tiba-tiba menghilangkan diri sejak 15 hari lalu,” kata Samsinar Zakaria, 45, yang merayu bantuan orang ramai mengesan anak keduanya Muhammad Nizam Shamsudian, 22.

Ibu tunggal, dari Kampung Pengkalan Rama, di sini, berkata, lebih meresahkan, Muhammad Nizam tidak membawa bersama dokumen pengenalan diri malah fikiran pemuda itu kini dipercayai kurang waras.

Menurut Samsinar, anaknya menghilangkan diri ketika mereka dalam perjalanan membawa pemuda itu untuk menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan tradisional di Bangi, Selangor pada 20 Ogos lalu.

Katanya, ketika kejadian dia bersama Muhammad Nizam, ditemani seorang lagi anak perempuan menaiki teksi dari Putrajaya untuk ke Bangi, menggunakan laluan Cyberjaya.

“Ketika masuk ke laluan Cyberjaya 3, Muhammad Nizam, tiba-tiba menjerit sehingga meronta-ronta mahu keluar dari kenderaan, saya segera tenangkan dia. Tetapi belum sempat dipujuk anak tiba-tiba membuka pintu dan melarikan diri.

“Saya minta pemandu hentikan teksi, sebelum kami mengejar Muhammad Nizam, tetapi gagal, usaha menjejak anak sukar berikutan hari semakin gelap, kerana kejadian berlaku pada waktu senja,” katanya pada sidang akhbar dikendalikan Pusat Khidmat Barisan Nasional (PEMBELA) negeri di Peringgit, di sini, semalam.

Ibu kepada lima anak itu memberitahu, ketika kejadian Muhammad Nizam, memakai baju panas warna gelap, seluar oren tua selain membawa bersama beg sandang warna hitam.

Wanita berasal dari Indonesia berstatus pemastautin tetap itu berkata, anaknya tidak membawa bersama telefon bimbit, sekali gus menyukarkan usaha mereka berhubung dengan Muhammad Nizam.

Terdahulu pada hari sama, dia membawa Muhammad Nizam, ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya kerana mahu memohon MyKad pemuda itu yang terlewat didaftarkan.

“Dia mula mengalami kemurungan tanpa diketahui puncanya sejak setahun lalu dan bersikap suka bersendirian. Tanpa pengetahuannya, saya membawa dia untuk mendapatkan rawatan di Bangi.

“Saya tidak sangka dia melarikan diri ketika kami dalam perjalanan untuk membawanya ke pusat perubatan berkenaan. Naluri saya kuat mengatakan Muhammad Nizam masih berada sekitar Cyberjaya, tetapi dia tidak ada wang dan suka menyendiri di tempat sunyi,” katanya.

Samsinar berkata, dia tidak menolak kemungkinan Muhammad Nizam, berlindung di bangunan tinggal sekitar Cyberjaya dan berhasrat mencari anak keduanya namun, kekangan kewangan membantutkan usahanya.

Malah, sebelum ini Samsinar mengambil cuti selama enam hari dan sudah dua kali ke lokasi sama bagi mengesan Muhammad Nizam, namun usahanya tidak membuahkan sebarang hasil.

“Laporan polis juga sudah dibuat mengenai kejadian itu, kini saya harap media dapat bantu menghebahkan berita kehilangan anak, saya sudah buntu selain tidak sedang duduk memikirkan nasib Muhammad Nizam,” katanya.

Sementara itu Pengarah PEMBELA-BN Melaka Amir Hamzah Abd Aziz berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis dengan segera jika mengetahui lokasi Muhammad Nizam, berada sekarang.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada polis, saya tidak mahu nombor telefon bimbit keluarga ini disiarkan kerana risau ada pihak ambil kesempatan termasuk minta ganjaran sebagai balasan.

“Selain itu kita juga akan membantu Samsinar dalam memudahkan lagi urusan dia mencari anak keduanya itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2016 @ 11:29am
d