mutakhir

834 berbasikal sambut merdeka

Kangar: Program berbasikal bukan saja terbukti sebagai satu aktiviti gaya hidup sihat, malah dapat menyatukan masyarakat apabila seramai 834 peserta berbilang kaum dan peringkat umur menyertai Program Merdeka Kayuhan Patriotik Fun Ride 2016 Edisi Perlis anjuran Biro Tata Negara di Dataran Hotel Putra Brasmana, di sini, semalam.

Sambil mengibarkan bendera, peserta yang mengenakan baju-T dengan rekaan Jalur Gemilang kelihatan bersemangat membawa ahli keluarga masing-masing untuk mengayuh basikal dalam program bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2016.

Seorang peserta, Ong Bon Ping, 38, berkata, dia dan isterinya, Lim Kui Teng, 36, sudah lama berkongsi hobi berbasikal dan mengambil peluang hari cuti semalam untuk beriadah bersama tiga anak mereka yang juga meminati aktiviti berbasikal.

“Kebiasaannya kami memang akan berbasikal bersama-sama pada hujung minggu. Namun, lebih bermakna hari ini (semalam) bila kayuhan ini adalah sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

“Program sebegini bukan saja menyatukan masyarakat berbilang kaum dan agama, malah kami peminat acara berbasikal juga berpeluang berinteraksi dan berkongsi minat yang sama,” katanya.

Sungguhpun pernah berkayuh pada jarak yang lebih jauh, Ong dan isterinya menyertai kayuhan sejauh 10 kilometer semalam untuk memberi peluang tiga anak mereka berusia empat hingga tujuh tahun bersama-sama berkayuh secara santai.

Program itu terbahagi kepada dua kategori iaitu 10 kilometer dan juga 40 kilometer membabitkan laluan kayuhan basikal di sekitar Kuala Perlis hingga ke kawasan Kuala Sanglang, selain melalui jalan pesisir pantai di sini.

Ahli Parlimen Kangar, Shaharuddin Ismail, merasmikan program dan turut hadir, Pengarah BTN Perlis, Jazli Fadzil.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi dan Latihan) BTN, Mohamed Norazman Mohamed Ariffin berkata, negeri itu adalah lokasi keenam program seumpamanya.

Disiarkan pada: September 5, 2016 @ 11:32am
d