mutakhir

Sama-sama pandu melulu

Serdang: Dua pemandu parah manakala seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 13.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Lebuhraya MEX), di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, ketiga-tiga kenderaan yang dipercayai dipandu laju dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke arah Putrajaya.

Bagaimanapun, setibanya ke lokasi kejadian, sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan sebelum berlanggar dengan dua lagi kenderaan dari arah sama.

Akibat kejadian, pemandu Mercedes Benz dan Honda Civic parah di badan dan kepala manakala pemandu Proton Wira hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohd Aminuddin Megat Alias berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan pada jam 4.15 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku akibat kenderaan terbabit dipandu secara melulu dan merbahaya.

“Siasatan masih diteruskan memandangkan mangsa masih mendapat rawatan di hospital.

“Mangsa dirawat di Hospital Putrajaya dan setakat ini tiada laporan polis dibuat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.

Katanya, saksi kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 6, 2016 @ 11:00am
d