mutakhir

Bau busuk rupanya mayat

Ampang: Bau busuk sejak beberapa hari di Taman Cheras Indah, dekat sini, terjawab apabila penduduk menemui mayat hampir reput di kawasan semak perumahan berkenaan, semalam.

Mayat seorang lelaki lengkap berseluar hitam dan baju kemeja itu ditemui kira-kira jam 12 tengah hari oleh beberapa pekerja binaan yang sedang membaik pulih sebuah rumah.

Sebaik penemuan itu, beberapa penduduk bertindak menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, setakat ini polis masih belum dapat mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, ketika ditemui, mayat sudah mula mereput dan dipercayai meninggal dunia sekitar tempoh dua minggu.

“Pihak forensik sudah menjalankan siasatan di kawasan sekitar bagi mengumpul bukti untuk membantu mengenal pasti punca kematian.

“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan forensik sama ada wujud elemen jenayah.

Sehubungan itu, Hamzah menasihati orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membantu siasatan lanjut.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat juga boleh membantu menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan polis.

Disiarkan pada: September 6, 2016 @ 11:21am
d