mutakhir

Wujud Lembaga Tenusu tingkat permintaan susu

Pekan: Lembaga Tenusu akan diwujudkan bagi membantu kerajaan memantau industri tenusu negara supaya terus berkembang pesat dan dapat menampung peningkatan permintaan susu cair tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, dia akan membawa kertas cadangan mengenai perkara ini ke peringkat atasan dalam masa terdekat.

“Lembaga berkenaan dijangka disertai wakil daripada beberapa kementerian termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

“Wakil daripada kerajaan negeri juga dimasukkan dalam lembaga ini kerana mereka yang meluluskan tanah bagi tujuan pembangunan ladang ternakan lembu tenusu,” katanya selepas merasmikan Kompleks Tenusu Pekan Dairy Farm di Chini, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang, Datuk Abu Bakar Harun dan Pengerusi Eksekutif Pekan Dairy Farm Sdn Bhd, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Ahmad Shabery berkata, pihaknya menyasarkan jumlah keluaran susu cair negara bertambah kepada 60 juta liter pada 2020 bagi menampung peningkatan permintaan.

“Setakat ini, pengeluaran susu cair negara hanya 57 peratus dan selebihnya adalah diimport dari luar negara.

“Justeru, bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu cair import, kita memerlukan lebih ramai usahawan tempatan membuka ladang ternakan tenusu di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini ada hampir 100 usahawan pengeluar tenusu tempatan secara skala sederhana manakala dua lagi pengeluar besar-besaran.

Disiarkan pada: September 6, 2016 @ 11:49am
d