mutakhir

'Akhirnya kami bersendirian'

Makkah: Jemaah haji yang kematian pasangan di Tanah Suci tetap tabah untuk menyempurnakan ibadat haji walaupun terpaksa meneruskan Rukun Islam kelima itu tanpa insan tercinta.

Sehingga semalam, empat jemaah meninggal dunia di Tanah Suci masing-masing dua di sini dan dua di Madinah.

Mereka ialah Mohamad Aman, 71, yang kembali ke rahmatullah di Madinah pada 8 Ogos lalu, Supiyah Bakar, 52, (19 Ogos/Madinah), Che Isa Che Awang, 61, (25 Ogos/Makkah) dan Kassim Palidin, 68 (28 Ogos/Makkah).

Balu Allahyarham Kassim, Norbiyah Sidin, 64, berkata, arwah suaminya meninggal sehari selepas mereka tiba ke sini kira-kira jam 4.30 pagi 28 Ogos lalu.

“Arwah memang ada penyakit darah tinggi dan pada hari itu dia agak kepenatan dan batuk.

“Sekarang cabaran saya adalah untuk menunaikan haji tanpa suami di sisi...saya minta Allah berikan kekuatan tubuh dan sihat untuk menghadapi Hari Wukuf.

“Saya sedikit risau...sekarang pun saya demam, bagaimanapun saya ucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji kerana ambil berat. Kalau tidak susah juga sebab kita di tempat orang,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di Hotel Rehab Al-Janadriyah di sini, semalam.

Sementara itu, suami Allahyarham Supiyah, Mohamad Shairi Arshad, 61, berkata, dia dan anak-anak terkejut dengan pemergian isterinya berikutan arwah tidak mengalami sebarang masalah kesihatan sebelum ini.

Katanya, mereka tiba ke Madinah pada 16 Ogos dan sepanjang tiga hari sebelum itu arwah kelihatan sangat sihat dan ceria.

“Menurut laporan doktor, punca kematian arwah isteri akibat strok, bagaimanapun saya agak terkejut kerana arwah tiada rekod masalah kesihatan sebelum ini.

“Saya reda dengan ketentuan Allah... kami sempat berada di Madinah selama tiga hari dan setiap hari kami bersarapan bersama walaupun tinggal di bilik berasingan,” katanya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Sementara itu, balu Allahyarham Che Isa, Junaini Ab Rahman, 52, berkata, dia sangat terasa kehilangan arwah kerana dia seorang yang baik.

“Selepas arwah meninggal saya rasa mahu pulang saja ke Malaysia tetapi saya mengubah fikiran untuk meneruskan ibadat haji kerana saya tahu arwah mahu saya sempurnakan haji saya,” katanya.

Katanya, arwah juga sangat rapat dengan cucunya yang berusia dua tahun Eman Solihin Mohd Faizal.

“Ketika saya menerima beg yang dibawa arwah ketika dia meninggal, saya menemui sepasang jubah yang dibeli untuk cucu kami yang yang tertera nama Eman supaya dia boleh mendoakan kesejahteraan cucu kami ketika di Tanah Suci,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2016 @ 12:01pm
d