mutakhir

Kicap halal ragu

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Puchong: Bau kencing tikus di hampir setiap penjuru premis, keadaan lantai kotor dan siling penuh bersawang.

Itu gambaran kekotoran sebuah premis memproses sos dan kicap di kawasan perindustrian Meranti Jaya, di sini, ketika diserbu sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah hari semalam.

Bukan itu saja, premis yang dipercayai beroperasi sejak 2010 itu turut menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi semua segmen produknya termasuk kicap, sos cili, sos tomato, cuka, sos tiram dan taucu.

Selain logo halal palsu JAKIM, pemilik premis juga didapati mencetak logo halal sendiri termasuk turut menggunakan logo halal Islamic Food and Research Council (IFRC) yang diharamkan JAKIM sejak 2012.

Ketua Unit Perihal Dagangan KPDNKK Selangor Ku Nadiah Che Ku Muni berkata, pihaknya terpaksa menyita 1,027 pelbagai jenis produk keluaran premis berkenaan bernilai RM11,500.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, premis sama pernah diserbu pada 2010 atas kesalahan sama, namun tetap berdegil dan masih menjalankan aktiviti sama.

“Kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) kerana menggunakan logo halal JAKIM palsu,” katanya.

Katanya, pemilik premis pernah memohon untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka, namun JAKIM menolak permohonan itu kerana tidak memenuhi kriteria ditetapkan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Halal JAIS Abd Haziq Abd Wahid berkata, pihaknya mendapati produk keluaran premis ini dipasarkan di pasar raya sekitar Lembah Klang.

Disiarkan pada: September 7, 2016 @ 10:39am
d