mutakhir

3 serpihan didedah

Oleh AFP

Maputo, Mozambique: Tiga serpihan pesawat yang ditemui terdampar di perairan Inhambane, wilayah selatan Mozambiq didedahkan kepada umum selepas disyaki milik MH370.

Pihak berkuasa Mozambique yang membuat sidang media semalam menunjukkan tiga serpihan pesawat baru yang ditemui terdampar di pantai disyaki kepunyaan penerbangan.

Berdasarkan laporan, objek paling besar itu berbentuk tiga segi berwarna putih dan merah di satu bahagiannya dengan warna kelabu metalik di bahagian lain.

Serpihan itu ditemui seorang pekerja hotel di perairan Inhambane pada bulan lalu.

Pengarah pihak berkuasa Mozambique, Joao de Abreu berkata, ia adalah serpihan berwarna yang pertama ditemui dan berkemungkinan ekor pesawat.

Katanya, di bahagian dalamnya, ada label yang begitu mudah dikenali untuk mengenal pasti identiti pesawat.

Dua lagi serpihan lebih kecil ditemui anak lelaki kepada diplomat Kesatuan Eropah (EU) berdekatan sebuah resort di selatan negara itu sebelum menyerahkan kepada pihak berkuasa pada minggu lalu.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai dua serpihan yang baru ditemui itu.

Semua objek itu akan dihantar ke Malaysia untuk pemeriksaan.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 bersama 239 penumpang serta kru yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014.

Australia yang mengetuai pencarian pesawat malang itu melakukan pemeriksaan ke atas lima serpihan setakat ini yang ditemui di Mozambique, Afrika Selatan dan Mauritius dilihat hampir pasti dari MH370.

Serpihan pertama yang dikaitkan dengan MH370 ialah sayap yang dikenali sebagai ‘flaperon’ sepanjang dua meter terdampar di Pulau Reunion di Lautan Hindi setahun lalu.

Disiarkan pada: September 7, 2016 @ 11:23am
d