mutakhir

Main ambil separuh-separuh

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Bachok: Pemantauan terhadap makanan disediakan untuk program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di semua sekolah negeri ini dilaksana secara berkala dan maklumatnya direkodkan secara bertulis serta disahkan pengurusan sekolah.

Berikutan itu Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah menafikan sebuah sekolah di Pasir Mas menyediakan makanan ‘daif’ dan tidak berkhasiat kepada penerima program rata-ratanya golongan miskin.

Beliau berkata, sejak gambar mengenai makanan iaitu nasi kosong dengan sosej diviralkan kelmarin, beliau mengarahkan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas untuk menyiasat perkara berkenaan.

“Dan, kita dapati viral itu tidak benar, mengatakan makanan untuk RMT tidak menepati menu adalah tuduhan tidak berasas kerana siasatan pegawai PPD mendapati pengusaha kantin yang diberi tanggungjawab itu menyedia menu mengikut apa yang ditetapkan.

“Menu nasi goreng Cina serta lauk daging dan air Milo serta tembikai yang disediakan namun gambar yang diambil itu bukanlah gambaran sebenar kerana hanya mengambil gambar nasi..

“Sedangkan dalam waktu penyediaannya (pagi), pengusaha masih dalam proses untuk menghidangkan makanan berkenaan. Dari segi kuantiti dan kualiti, ia mengikut apa yang diputuskan pegawai pemantau secara berkala.

“Makanan disediakan untuk 149 penerima dan jumlahnya juga mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Badak, di sini, semalam.

Sejak kelmarin viral di laman sosial mengenai menu RMT yang disediakan di sebuah sekolah di Pasir Mas tidak memenuhi menu yang sepatutnya berkhasiat untuk murid kurang berkemampuan.

Dalam gambar viral itu ditunjukkan nasi putih yang masih banyak dengan lauk sosej.

Beliau yang menyifatkan tuduhan berkenaan sengaja memburukkan JPN dan Kementerian Pendidikan turut memberitahu sosej berkenaan adalah inisiatif sumbangan pengusaha kantin untuk menarik murid makan di situ.

“Mereka yang suka melihat sesuatu yang belum pasti dan menviralkan perkara yang tiada kebenaran, saya menyeru supaya tidak berbuat demikian lagi.

“Semua masyarakat dan ibu bapa yang mempunyai masalah mengenai penyediaan makanan untuk murid juga diminta menggunakan saluran yang betul untuk aduan,” katanya yang sudah mengarahkan pegawainya mengambil tindakan segera susulan kes itu.

Disiarkan pada: September 7, 2016 @ 11:28am
d