mutakhir

Peka jaga kesihatan

Makkah: Bilangan jemaah haji Malaysia yang dirawat di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah dan hospital Arab Saudi menurun berbanding beberapa tahun sebelum ini.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ini berikutan pendedahan yang dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada jemaah berhubung aspek penjagaan kesihatan di Tanah Suci sejak mereka berada di tanah air lagi.

Katanya, menerusi siri kursus yang dianjurkan TH dan peranan KKM dalam perkara ini berjaya mengurangkan jumlah pesakit yang dirawat di pusat rawatan dan hospital.

“Sebelum jemaah haji berangkat, pelbagai kursus dan penerangan yang diberikan selain jaringan pemeriksaan kesihatan dibuat dengan begitu rapi.

“Alhamdulillah, setakat hari ini jumlah jemaah Malaysia yang sakit dan dirawat di pusat rawatan peratusannya menurun,” katanya selepas melawat Pusat Rawatan TH Syisyah, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Abdul Azeez berkata, setakat semalam 41 jemaah dirawat di Pusat Rawatan TH Syisyah manakala sembilan lagi dirawat di hospital tempatan Arab Saudi.

Beliau berkata, biasanya pada tarikh sama tahun sebelum ini bilangan pesakit mencecah lebih 70 orang.

Katanya, hanya ada dua kes serius iaitu dua jemaah yang mengalami pendarahan otak. Bagaimanapun, mereka sudahpun selamat menjalani pembedahan di hospital Arab Saudi.

Sementara itu, beliau berkata, seorang lagi jemaah Malaysia, Pauziah Hamzah, 55, dilaporkan meninggal dunia semalam menjadikan kes kematian jemaah kelima di Tanah Suci manakala satu lagi di tanah air.

Menurut Abdul Azeez, TH mengucapkan takziah kepada suami arwah yang berada di sini dan keluarganya di tanah air.

Disiarkan pada: September 7, 2016 @ 11:35am
d