mutakhir

50 tadika sertai program

Seremban: Seramai 1,000 kanak-kanak daripada 50 Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) di negeri ini menimba pengalaman menarik sebagai bakal haji apabila menyertai program simulasi haji cilik di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, semalam.

Program julung kali diadakan itu adalah anjuran bersama Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM), Persatuan Pengusaha Taska Negeri Sembilan (PTN9) dan Persatuan Pengusaha dan Guru Pra Sekolah Swasta Negeri Sembilan (PRASTANS).

Naib Pengerusi PRASTANS Norsita Md Shah berkata, program haji cilik itu adalah satu daripada modul pembelajaran baru yang dilaksanakan di tadika swasta negeri ini, dalam usaha memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak.

Katanya, pengalaman yang dilalui kanak-kanak dalam program terbabit menjadi titik tolak kepada mereka untuk memahami secara mendalam pelaksanaan menunaikan haji di Makkah.

“Dalam program yang mengambil masa dua jam itu, kanak-kanak yang lengkap berpakaian ihram didedahkan kepada pergerakan rukun haji seperti wukuf, melontar jamrah, saie dan tahalul serta simulasi korban.

“Mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk melakukan semua pergerakan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Simulasi Haji Cilik, yang disempurnakan Yang Dipertuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Dr Awaluddin Said.

Turut hadir Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Azlan Mohd Lasim.

Disiarkan pada: September 8, 2016 @ 6:52am
d