mutakhir

Bos dadah Thailand sembunyi di Malaysia

Narathiwat: Polis Thailand memohon bantuan pihak berkuasa di negara ini untuk mengesan ketua sindiket dadah yang paling kehendaki di wilayah Selatan Thailand kerana dikatakan bersembunyi di Malaysia.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin berkata, suspek dikenali sebagai Ikram Abdullah, 38, melarikan diri susulan rampasan 874,000 biji pil kuda dan 10 kilogram syabu bernilai lebih 30 juta bath atau RM3.5 juta dalam serbuan di Saraburi, Bangkok pada 20 Ogos lalu.

Katanya, dadah berkenaan disembunyikan di dalam lima bas dua tingkat milik syarikatnya yang sudah diubah suai untuk pasaran di Malaysia.

“Dalam operasi itu kita menahan empat suspek warga Thailand berusia antara 30 hingga 52 tahun yang bersubahat dengan suspek utama dan merampas lima bas dua tingkat yang digunakan suspek sebelum menemui pil kuda dan syabu dianggarkan bernilai RM3.5 juta yang disembunyikan di pelbagai tempat dalam kenderaan berkenaan.

“Waran tangkap terhadap suspek sudah dikeluarkan namun dia sempat melarikan diri ke Malaysia.

“Kita sudah berhubung dengan pihak berkuasa di Malaysia untuk membantu mengesan suspek,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, baru-baru ini.

Disiarkan pada: September 8, 2016 @ 6:59am
d