mutakhir

Dituduh bunuh tiga sekeluarga [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh dan mencederakan keluarga angkatnya, bulan lalu.

Tertuduh Luqman Hadi Mustapa, 28, hanya mengangguk faham terhadap kelima-lima pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norina Maludin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan turut kelihatan di kamar mahkamah, beberapa saudara terdekat mangsa.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan bunuh terhadap Hassan A Wahab, 70, Mariah Baharin, 61, dan Muhammad Taufeq Hassan, 22.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna oren turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu dengan niat menetak tubuh badan Noor Haslinda Diyana Hassan, 26, dan Nur Aqedah Aeina Hassan, 24, menggunakan sebilah parang panjang dan perbuatan itu boleh menyebabkan kematian yang boleh menjadi kesalahan membunuh.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Sidang Said, Bertam Malim, di sini, pada jam antara 5.50 hingga 6.15 pagi, 25 Ogos lalu.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Chee Thim yang memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baru kerana pihaknya masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat bagi melengkapkan dokumen selain tiada jaminan ditawarkan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Harian Metro 26 Ogos lalu melaporkan, suami isteri serta anak lelaki mereka mati dibunuh kejam akibat dikelar dengan senjata tajam yang dipercayai dilakukan seorang lelaki yang juga anak saudara angkatnya yang tinggal bersama mereka di Kampung Bertam Malim di sini, jam 6 pagi semalam.

Disiarkan pada: September 8, 2016 @ 7:07am
d