mutakhir

Tawar ikat jamin RM90,000

Melaka: Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, mengenakan ikat jamin RM90,000 ke atas dua kenalan yang mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan memerdagang wanita warga asing, Jun lalu.

Kedua-dua tertuduh termasuk seorang wanita yang juga pengusaha salon membuat pengakuan berkenaan selepas didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara 15 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh Lim Sock Eng, 49, dan kenalannya Tan Leong Swee, 60, didakwa memerdagang tiga wanita warga Vietnam bagi maksud eksploitasi secara seks.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah premis di Jalan Melaka Raya 14, Taman Melaka Raya, di sini, jam 5 petang, pada 1 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Iffa Sirhu Samsudin mencadangkan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap tertuduh selain meminta pasportnya diserahkan kepada pihak mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Gan Seong Kim bagaimanapun merayu, mahkamah mengenakan jaminan yang rendah kerana kedua-dua tertuduh perlu menanggung orang tua yang sudah uzur.

Katanya, tiada alasan untuk tertuduh melarikan diri kerana sepanjang proses siasatan mereka memberi kerjasama penuh.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norma kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM15, 000 bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan supaya pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.

Mahkamah turut menetapkan 26 dan 27 Oktober depan untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Disiarkan pada: September 8, 2016 @ 7:17am
d