mutakhir

Nafi pecah amanah RM15j

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan Pengarah Urusan bank itu, Datuk Mustafha Abd Razak masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan bersubahat dan melakukan pecah amanah hampir RM15 juta, Mac lalu.

Abdul Aziz, 65, dan Mustafha, 48, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan dihadapi Mustafha, beliau sebagai Pengarah Urusan Bank Rakyat melakukan pecah amanah membabitkan peruntukan kumpulan perbelanjaan pemasaran berjumlah RM14,991,283.20 di Menara Kembar Bank Rakyat, Jalan Travers, di sini, 11 Mac lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan boleh didenda, jika disabit kesalahan.

Sementara itu, Abdul Aziz didakwa bersubahat melakukan pecah amanah pada masa, tarikh dan tempat sama dan dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama 409 akta sama.

Terdahulu, Pengarah Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Masri Mohd Daud mencadangkan jaminan RM2 juta bagi setiap tertuduh dan dokumen perjalanan diserahkan ke mahkamah atas alasan kesalahan dilakukan serius, iaitu pecah amanah yang membabitkan institusi kewangan dengan jumlah hampir RM15 juta.

“Jumlah itu wajar bagi memastikan kedua-dua tertuduh hadir perbicaraan kes.

“Selain itu, disebabkan kedua-dua pertuduhan ini membabitkan transaksi yang sama, pendakwaan memohon supaya kes dibicarakan bersama,” katanya.

Peguam, Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Abdul Aziz kemudian memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan mengambil kira anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga dan haruslah munasabah dengan alasan jumlah RM2 juta tidak relevan dengan pertuduhan dihadapi tertuduh.

Datuk Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Mustafha turut memohon supaya jaminan dikurangkan kerana anak guamnya berkhidmat dengan Bank Rakyat sejak 1991 selain perlu menanggung keluarga dan empat anak yang masih belajar.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 10 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk menangguhkan bayaran jaminan anak guamnya sehingga esok sebelum jam 3 petang kerana wang jaminan yang disediakan belum mencukupi.

Disiarkan pada: September 8, 2016 @ 7:34am
d