mutakhir

Fokus Zika di Johor

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kementerian Kesihatan kini memberi lebih fokus kepada Johor terutama dalam meningkatkan aktiviti dan tumpuan pengawalan nyamuk aedes sebagai langkah mengekang virus Zika sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, hal ini kerana negeri berkenaan disyaki boleh menjadi pusat penyebaran virus, justeru langkah segera perlu dilaksanakan.

“Sekarang kami memberi tumpuan terhadap kawalan aedes selain bekerjasama dengan agensi kerajaan lain supaya menyelaraskan aktiviti untuk mengurangkan pembiakan nyamuk ini.

“Masyarakat bimbang terhadap Zika lebih daripada denggi dan ia suatu perkara yang baik kerana sekurang-kurangnya kami boleh mengambil kesempatan untuk meningkatkan kesedaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun wujud kesedaran dan kebimbangan terhadap jangkitan itu, perkara penting adalah bertindak dan melaksanakan peranan masing-masing bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

“Misalnya, pembersihan di kawasan sekitar rumah selain pembabitan komuniti dalam memainkan peranan mereka,” katanya.

Ditanya mengenai vaksin, Dr Subramaniam berkata, ada kajian dilakukan di beberapa negara namun beliau diberitahu tiada kemungkinan vaksin berkenaan tiba dengan cepat.

“Jika ada pun (vaksin), ia mengambil masa,” katanya.

Kelmarin, bakal ibu berusia 27 tahun yang hamil anak sulung dari Taman Desa Harmoni di Johor Bahru, Johor disahkan sebagai mangsa ketiga dijangkiti virus Zika di negara ini.

Wanita itu disahkan hospital kerajaan di Johor positif virus Zika selepas mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, ruam dan sakit badan.

Disiarkan pada: September 9, 2016 @ 9:28am
d