mutakhir

Didenda RM28,000

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Seorang pemilik lori bauksit didenda RM28,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tiga pertuduhan termasuk menyebabkan kematian seorang guru pada 21 Disember 2015.

Tertuduh, Teh Ling Hock, 46, dari Puchong, Selangor, sebelum itu membuat pengakuan bersalah di depan Hakim Unaizah Mohd selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Unaizah Mohd.

Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pemilik lori yang dipandu Fairul Azman Azmi, 36, gagal memberi keutamaan yang paling tinggi kepada keselamatan pengguna jalan raya lain dengan menyebabkan kematian apabila tayar kiri gandar kedua tercabut dan terpelanting.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membuat pengubahsuaian pada kelengkapan kekal kepada lori berkenaan dengan penambahan ketinggian panel sisi tanpa kelulusan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa membawa muatan bauksit melebihi had 9,090 kilogram (kg) daripada berat maksimum yang dinyatakan iaitu 21,000kg selepas ujian timbang dilakukan pada 28 Disember 2015.

Teh melakukan semua kesalahan itu di depan Ibam Mining, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan, jam 3 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 58(1)(b)(iii), Seksyen 73(1) dan Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Nurasyikin Ja’alam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ke atasnya dikurangkan atas alasan perniagaannya semakin merosot dan dia perlu menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibu berusia 85 tahun.

Disiarkan pada: September 9, 2016 @ 9:37am
d