mutakhir

Rintihan anak biru [METROTV]

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Seorang ibu berharap supaya pembedahan kali ketiga anak perempuannya yang menghidap masalah jantung sejak lahir mampu membantu kanak-kanak berkenaan yang berusia enam tahun sembuh, seterusnya kembali ceria.

Suri rumah, Lee Chee Cheng, 37, berkata, dia berharap pembedahan yang akan dijalankan terhadap Lee Xin Lin di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) di sini, berjaya.

Menurutnya, ketika ini, wajah anak pucat selain bibirnya kebiruan berikutan saluran injap ‘Redo-Stemotomy’ mengalami masalah.

“Satu saluran tambahan di jantung anak turut bermasalah dan memerlukan pembedahan segera. Saya tetap bimbang walaupun dua pembedahan dijalankan sebelum ini berjaya.

“Kos pembedahan pula RM70,000 dan suami, Lee Wai Gee yang berusia 41 tahun hanya memperoleh RM2,500 sebulan hasil berniaga barangan terpakai.

“Kami tidak mampu membayarnya dan berharap orang ramai yang prihatin dapat menghulurkan bantuan kewangan membiayai pembedahan anak,” katanya ketika ditemui di GMC, semalam.

Pada masa sama, bayi berusia tiga bulan, Nur Zara Fiza Ros Azizul disahkan menghidap masalah jantung berikutan saluran ‘Ventricular Septal Defect’ (VSD) berdepan masalah sehingga injap dadanya menerima kesan.

Sejak dilahirkan, Nur Zara Fiza menerima rawatan di Hospital Langkawi sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah hampir sebulan dan kini di GMC.

Bapanya, Ros Azizul Mohd Rosli, 30,yang bekerja sebagai pemandu van hotel terpaksa mengambil cuti tanpa gaji untuk menguruskan proses pembedahan anaknya.

“Saya dimaklumkan pembedahan segera perlu dilakukan dan kosnya dianggarkan RM50,000. Saya tidak mampu menyediakan jumlah berkenaan. Saya juga berharap ada pihak yang prihatin dapat menghulurkan bantuan bagi membiayai pembedahan ini,” katanya.

Bagi Teoh Kiang Roon, 34, pekerja kedai cat dari Sungai Bakap, dia tidak mampu menyediakan RM55,000 yang juga kos pembedahan bayi lelakinya, Teoh Zi Ping yang berusia 13 bulan.

Menurutnya, Zi Ping disahkan mengalami masalah jantung berikutan saluran ‘Tetralogy of Fallot’ (TOF) tersumbat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan boleh menghantar cek atau wang pos kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, Bahagian Kumpulan Komunikasi Korporat, Media Prima Berhad, Level 1, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kakak-kanak terbabit di belakang cek.

Disiarkan pada: September 9, 2016 @ 9:52am
d