mutakhir

Rosyam berjaya tamat misi berjalan 47km [METROTV]

Oleh Ramlah Zainal

Shah Alam: Pelakon dan penerbit filem terkenal, Datuk Rosyam Nor berjaya menamatkan misi berjalan kaki sejauh 47.2 kilometer (km) dari Masjid Karangkraf di Seksyen 15, di sini, ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak petang semalam sempena kempen Walk for World Quran Hour.

Program bermula jam 6.45 pagi dan berakhir di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM jam 4.15 petang, semalam.

Turut hadir, Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub dan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Mohd Nasir Hamzah.

Antara lokasi yang dilalui Rosyam ialah Taman Megah, Damansara Jaya, Damansara Utama, Taman Tun Dr Ismail, Kepong, Batu Caves dan Taman Sri Gombak.

Rosyam berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menamatkan misi berkenaan dan disambut pihak UIAM dengan selawat nabi dan beliau turut menyerahkan simbolik senaskhah al-Quran kepada Rektor UIAM, Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

“Sebenarnya, ia bukan sekadar perjalanan, sebaliknya untuk mengajak orang ramai mengingati Hari Wukuf di Arafah dengan sama-sama membaca al-Quran selama sejam bersama umat Islam di seluruh dunia,” katanya.

Rosyam yang juga ikon Rumah Ngaji berkata, inisiatif program Walk for World Quran Hour ini lahir daripada cetusan ideanya sendiri sebagai usaha untuk terus mengajak orang ramai memenuhi Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

“Perjalanan ini dengan hasrat untuk mengajak masyarakat kembali berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amalkan sehingga melahirkan akhlak sebagai Muslim sejati.

“Kempen World Quran Hour akan disambut di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM jam 9 pagi, Ahad ini. Saya berharap kempen ini membabitkan penyertaan lebih ramai selebriti dan dijadikan acara tahunan,” katanya.

Selain Rosyam, ia juga membabitkan enam wakil media tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil bahagian.

Kempen World#Quran Hour dilancarkan pada 9 Zulhijjah 1437 di Arafah Arab Saudi (bersamaan 11 September ini) dan disambut di seluruh dunia

Disiarkan pada: September 9, 2016 @ 10:04am
d