mutakhir

Dua peluru tembus kepala

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang wanita menjerit sebaik melihat suaminya kaku dalam keadaan berlumuran darah di sofa di ruang tamu rumah sewa mereka di Kampung Baru Chenderong, Batu Gajah dekat sini, sejurus tiba selepas menghantar tiga anak mereka ke sekolah berhampiran, jam 7.30 pagi semalam.

Mangsa yang juga mualaf, Ahmad Nazri Abdullah, 34, atau nama asalnya R Mathan dan bekerja sebagai pemandu lori meninggal dunia dipercayai selepas terkena dua das tembakan di kepala.

Ikuti detik hitam dialami isteri mangsa, Norliza Omar, 35, diceritakan kepada wartawan Harian Metro ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Pagi tadi (semalam), jam 7 pagi, saya menyiapkan tiga anak perempuan yang masing-masing berusia lima tahun, tujuh tahun dan sembilan tahun untuk ke sekolah.

Ketika itu, suami juga siap untuk keluar bekerja. Kebetulan, hujan melanda dan saya menyediakan air teh untuk suami. Dia duduk di sofa di ruang tamu sambil menonton televisyen sementara menunggu hujan berhenti.

Saya keluar menghantar anak bongsu serta anak kedua ke sekolah dengan menunggang motosikal. Saya dapati ada kereta putih tidak dikenali berada di lorong masuk ke rumah kami.

Saya kembali ke rumah untuk menjemput dan menghantar anak sulung pula ke sekolah. Ketika keluar, saya tidak mengunci pintu rumah. Pada masa sama, saya dapati kereta putih itu masih ada namun tidak tahu siapa di dalamnya kerana ia bercermin gelap.

Dalam perjalanan pulang ketika hampir tiba di rumah, saya terdengar dua letupan seperti mercun sebelum melihat kereta itu berlalu pergi. Sebaik melangkah masuk ke rumah, saya terkejut melihat suami berlumuran darah di sofa.

Saya memeriksa nadi di tangan suami. Saya terus menghubungi adik ipar memaklumkan kejadian sebelum menghubungi polis.

Tiga bulan lalu, saya dan suami ada membuat aduan polis mengenai individu mencurigakan bertanyakan alamat rumah kepada kami ketika berehat di kediaman. Namun kami beranggapan mungkin individu terbabit salah alamat.

Sepanjang 10 tahun berkahwin, setahu saya, suami tidak pernah bergaduh atau berhutang dengan sesiapa. Dia juga tidak pernah terbabit dengan sebarang kes jenayah seperti dadah atau sebagainya.

Sementara itu, bapa mangsa, D Ragandran, 64, berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu seorang yang bertanggungjawab terhadap ibu bapa dan keluarganya walaupun memeluk Islam.

“Kami tidak tahu mengapa dia dibunuh. Kami harap pembunuhnya segera ditahan dan diadili,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2016 @ 9:12am
d