mutakhir

Bapa, anak naik Black Maria

Oleh Zul Ikhwan Muhammad

Rompin: Seorang bapa terpaksa ‘mengangkut’ anak lelakinya menaiki ‘Black Maria’ untuk ke pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, bagi menjalani ujian saringan air kencing selepas ditahan dalam Ops Sepayang di rumahnya di Kampung Simpang Sepayang di sini, awal pagi kelmarin.

Lelaki berusia 46 tahun yang ditahan anggota AADK dalam operasi itu mendakwa dia tidak mempunyai waris lain untuk menjaga kanak-kanak berusia lima tahun itu.

Dia mendakwa sudah berpisah dengan isterinya sejak beberapa tahun lalu dan hanya tinggal berdua dengan anak lelakinya itu menyebabkan dia terpaksa membawa sekali kanak-kanak terbabit ke pejabat AADK sejurus ditahan.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap lelaki berkenaan mendapati dia positif dadah namun kemudian dilepaskan dengan pemantauan dan pengawasan AADK.

Pengarah AADK Pahang Abd Ghani Abd Rahman berkata, operasi empat jam membabitkan 35 anggota termasuk bantuan daripada anggota AADK daerah lain itu menahan 33 individu berusia antara 22 hingga 47 tahun.

“Sepanjang operasi dijalankan, terdapat segelintir ibu bapa yang tidak memberikan kerjasama selain memberikan maklumat palsu bagi melindungi anak mereka yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penagihan dadah,” katanya yang turut serta dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya, terdapat ibu bapa yang tidak mempercayai anak mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ada juga yang sudah sedia maklum tentang aktiviti anak mereka, namun cuba melindungi atas dasar simpati.

“Daripada keseluruhan jumlah tangkapan itu, seramai 22 individu akan dimasukkan ke pusat pemulihan, manakala empat individu akan diberikan pengawasan AADK daerah dan bakinya didapati bebas daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Abd Ghani berkata, operasi yang dijalankan itu bertujuan mencegah serta mengesan mereka yang baru berjinak dalam penagihan dadah supaya boleh diberikan rawatan awal di pusat pemulihan yang ada di seluruh negara.

Disiarkan pada: September 10, 2016 @ 9:14am
d