mutakhir

Adoi!

Oleh Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman

Jerantu: Seorang lelaki Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Sungai Mai, di sini, cedera selepas senapang angin buatannya yang digunakan untuk berburu tertembak diri sendiri.

Dalam kejadian jam 4.45 petang kelmarin, mangsa berusia 37 tahun cedera di kanan perut selepas senapang itu terlepas daripada pegangan tangan ketika dia mengeluarkan senjata itu dari beg.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Azid Ismail berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihaknya oleh doktor yang merawat mangsa.

“Siasatan mendapati senapang angin yang digunakan itu miliknya sendiri.

“Senapang angin buatan sendiri itu digunakan mangsa bagi tujuan memburu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, di sini, semalam.

Azid berkata, mangsa dibawa ke Hospital Jerantut, di sini, untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, bagi rawatan susulan.

“Pemeriksaan pegawai perubatan hospital mendapati mangsa kini stabil.

“Bagaimanapun, peluru ‘ball bearing’ basikal yang mengenai perut mangsa masih belum dikeluarkan dan mangsa ditahan di wad bagi menjalani pembedahan mengeluarkan peluru itu,” katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2016 @ 9:21am
d