mutakhir

1.3 juta jemaah tiba

Makkah: Seramai 1,323,520 umat Islam dari seluruh dunia tiba di sini, untuk menunaikan ibadat haji yang bermula dengan wukuf di Arafah, esok.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pasport Arab Saudi Mejar Jeneral Solaiman Al-Yahya, 1,245,203 jemaah masuk menggunakan laluan udara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Muhammad Bin Abdul Aziz, Madinah.

Beliau memberitahu Saudi Gazette, seramai 65,594 jemaah tiba melalui jalan darat khususnya dari negara jiran manakala bakinya melalui jalan laut yang mendarat di beberapa pelabuhan terutama Pelabuhan Islam Jeddah.

Solaiman berkata, 216 jemaah asing yang gagal mematuhi arahan haji dihantar pulang ke negara masing-masing termasuk 52 kes memalsukan pasport.

Sehingga kelmarin, 189,000 jemaah yang cuba memasuki Makkah dan kawasan tanah haram secara tidak sah dihantar pulang selepas mereka ditahan di beberapa pusat pemeriksaan pihak berkuasa.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, 48,000 kenderaan yang membawa jemaah haji tanpa kebenaran yang cuba memasuki Makkah dirampas manakala 22 agensi pengurusan haji palsu dikenakan tindakan.

Kementerian Haji dan Umrah turut mengingatkan jemaah warga tempatan yang mendaftar untuk mengerjakan haji, tetapi gagal berbuat demikian tidak akan dikembalikan wang mereka.

Disiarkan pada: September 10, 2016 @ 9:57am
d