mutakhir

Ribuan naik angin

Kuala Lumpur: Sekali lagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya mengalami gangguan perjalanan sehingga menyebabkan ribuan pengguna yang ingin ke tempat kerja dan bergerak pulang ke kampung untuk menyambut Aidiladha terkandas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Datuk Azmi Abdul Aziz berkata, masalah gangguan perjalanan tren kira-kira jam 7 pagi semalam dipercayai berikutan susulan daripada kejadian pagi Rabu lalu.

Beliau berkata, masalah kepada sistem bekalan kuasa turut menjejaskan pengudaraan di dalam dua tren dari Gombak menghala ke Putra Heights.

“Gangguan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan tren berhenti di Stesen Sri Rampai dan Stesen Damai selain turut menjejaskan sistem pengudaraan.

“Untuk keselamatan, pengurusan operasi segera mengeluarkan penumpang dan memindahkan mereka ke stesen terdekat iaitu Stesen Sri Rampai kira-kira 10 meter (m) bagi tren pertama dan Stesen Damai (lingkungan 80m) dari tren kedua menggunakan laluan keselamatan yang disediakan,” katanya.

Menurutnya, kaedah itu mengikut Prosedur Standard Operasi biasa yang ditetapkan manakala laluan itu juga selamat digunakan kerana ia adalah laluan untuk petugas penyelenggaraan.

Masalah gangguan berkenaan menjadi viral di laman sosial selepas pengguna ‘naik angin’ kerana lewat ke tempat kerja selain ada yang tertinggal bas dan keret api elektrik (ETS) untuk pulang ke kampung.

Rabu lalu, ribuan pengguna perkhidmatan berkenaan terkandas lebih enam jam di stesen LRT selepas kenderaan berkenaan mengalami gangguan teknikal yang dipercayai berpunca daripada masalah semboyan dan komunikasi.

Sementara itu, mengulas mengenai kekerapan gangguan itu, Azmi berkata, pihaknya akan mengkaji semula sistem sedia ada dan merancang menambah baik untuk keselesaan pengguna pada masa akan datang.

Katanya, pihaknya masih mengkaji punca sebenar masalah itu berlaku bagi mengelakkan ia berulang.

“Kami akan menghantar laporan penuh siasatan dan audit berkaitan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat

Disiarkan pada: September 10, 2016 @ 10:05am
d