mutakhir

Helah 'pemandu teksi' cermin gelap

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Kumpulan mat Bangladesh yang menjalankan kegiatan memandu teksi secara haram di ibu kota dikesan sengaja memasang cermin gelap bagi mengelak identiti mereka dikesan pihak berkuasa.

Taktik itu bagaimanapun didedahkan hasil penyamaran anggota Penguat Kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Hentian Putra, di sini, sejak 8.30 pagi semalam.

Difahamkan pemilik asal teksi berkenaan menyewa kenderaan itu kepada warga asing dengan kadar bayaran RM50 hingga RM100 sehari.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya menjalankan Op Bersepadu sempena Aidiladha bagi mengesan pengendali pengangkutan awam yang gagal mematuhi peraturan di hentian bas di seluruh negara sehingga 18 September ini.

“Dalam operasi di Hentian Duta di sini, semalam, kami menyita sembilan teksi atas pelbagai kesalahan antaranya tiada kad pemandu (5), pemandu warga asing (3), gagal mengemukakan lesen pengendali (2) dan lesen pengendali tamat tempoh (2).

“Secara umumnya 57 teksi, 46 bas dan 28 kaunter tiket bas di sekitar Hentian Duta, di sini diperiksa.

“Selain sembilan teksi dikesan melakukan pelbagai kesalahan, sebuah bas turut didapati mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan dan tiga kaunter mengeluarkan tiket tidak bercetak serta tidak mempunyai surat lantikan ejen,” katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi warga asing berusia antara 30 hingga 50 tahun itu didapati menyalahgunakan permit kerja dengan menjadi pemandu teksi.

“Mereka diserahkan kepada imigresen untuk tindakan lanjut.

“Ada antara mereka memasang filem penapis haba (tinted) gelap untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan mereka.

“Warga asing ini menyewa teksi daripada pemilik asal kenderaan itu dengan kadar sewa mencecah RM100 sehari. Kita mengambil tindakan terhadap pemilik asal kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya.

Menurutnya, semua kesalahan dikesan dalam operasi ini disiasat mengikut Seksyen 22(3) APAD 2010.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 10:52am
d