mutakhir

Liat ikut jadual TTA

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Antara punca utama kesesakan luar biasa yang berlaku di lebuh raya seluruh negara kelmarin disebabkan sikap pengguna lebuh raya yang enggan mematuhi jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA).

Selain cuti perayaan Aidiladha dan cuti sekolah sempena Hari Malaysia disambut serentak, kesesakan berlaku apabila pergerakan keluar kenderaan warga kota dari ibu negara tidak terkawal dan menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan dari semasa ke semasa.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad, Mohammad Fuad Khusairi, berkata, jadual TTA yang disediakan untuk melancarkan trafik lebuh raya secara berperingkat itu, pematuhannya masih di tahap rendah.

“Lebuh raya tidak dapat menampung peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu secara serentak.

“Berdasarkan kajian pada musim perayaan yang lalu, apabila peratusan dan jumlah pengguna lebih ramai mematuhi TTA, perjalanan di lebuh raya lebih lancar,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Menurutnya, selain pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya, pihaknya berpendapat kemalangan kecil yang berlaku di sepanjang lebuh raya juga mengganggu kelancaran trafik.

“Bagaimanapun, kami hanya boleh menasihatkan pengguna lebuh raya untuk mematuhi TTA, kami tidak boleh menguatkuasakan penggunaannya.

“Seperti musim perayaan yang lalu, orang ramai boleh mendapatkan jadual TTA di laman web PLUS dan mengikuti Twitter PLUSTrafik,” katanya.

Menurut Mohammad Fuad, bagi memastikan perjalanan lancar dengan cara yang berhemah, dia menasihatkan pemandu tidak menggunakan lorong kecemasan dan sentiasa mengikuti trafik terkini melalui saluran yang disediakan.

Disiarkan pada: September 12, 2016 @ 11:08am
d